Penghantar surat kumpulan pengganas DAISH didakwa

0
Penghantar surat kumpulan pengganas DAISH didakwa | Kuala Lumpur, Seorang penghantar surat dihadapkan ke Mahkamah Majistret hari ini atas dua tuduhan memberi sokongan dan memiliki item berunsur perbuatan keganasan yang berkaitan kumpulan pengganas Daish, April lalu.

Fazar Nor Md Reduan, 33, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Majistret Siti Radziah Kamarudin.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memberi sokongan kepada berlakunya perbuatan pengganas membabitkan penggunaan bahan letupan.

Ia dilakukan untuk melanjutkan satu perjuangan ideologi dan perbuatan itu boleh dianggap diniatkan untuk menggugut orang awam di Malaysia melalui aplikasi Telegram dalam telefon bimbit Samsung S4 miliknya.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di No 107, Blok 11 AU3/1, Ulu Klang antara April lalu hingga 28 Jun lalu.

Dakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 130J(1)(b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau penjara maksimum 30 tahun atau denda dan boleh dirampas mana-mana harta yang telah digunakan atau diniat digunakan untuk melakukan kesalahan itu.

Manakala bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memiliki item-item yang berunsur perbuatan keganasan dan berkaitan kumpulan pengganas Daish dihadapan Liberty Insurans Berhad, No 2/23A, Taman Danau Kota Off Jalan Genting Klang dekat sini pada jam 1.20 petang, 28 Jun lalu.

Bagi pertuduhan itu dia didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan boleh dilucuthak mana-mana item itu.

Mahkamah kemudian menetapkan 28 September ini untuk sebutan semula kes.

Penghantar surat kumpulan pengganas DAISH didakwa
Hmetro, Penghantar surat kumpulan pengganas DAISH didakwa
Show Comments
Hide Comments

0 Comments

* No 'spam' please ... [auto delete using script]
* Moderation setting on - [enable by default]

+ Terima kasih kerana sudi meninggalkan komen