Tiada istilah menyerah - Konsert nova stadium malawati Shah Alam

0

Tiada istilah menyerah - Konsert nova stadium malawati Shah Alam | Sabtu ini bakal berlangsung Konsert Nova di Stadium Malawati, Shah Alam.

Konsert menggabungkan enam penyanyi hebat Malaysia dan Indonesia ini menjanjikan sesuatu yang menarik buat peminat.

Penyanyi Malaysia terdiri daripada Dayang Nurfaizah, Faizal Tahir dan Azlan & The Typewriter. Sementara dari Indonesia pula Judika, Cakra Khan dan Syahrini.

Meskipun pada tarikh dan waktu sama turut berlangsung Konsert Datuk Sheila Majid, Azlan tetap optimis Konsert Nova bakal mencipta sejarah tersendiri.

Menurut Azlan, tidak timbul soal tertekan atau persaingan kerana dia beranggapan dua konsert ini mempunyai kelompok peminat berbeza.

“Dalam apa juga pekerjaan dilakukan pasti ada tekanan. Cuma apabila bercakap mengenai konsert ini setiap pihak yang terbabit perlu berusaha. Tidak ada istilah menyerah atau berserah. Alhamdulillah tiket pun sudah banyak terjual.

“Sejujurnya konsert ini begitu istimewa. Gabungan artis juga pelbagai dan menampilkan muzik berbeza. Malah setiap penyanyi mempunyai peminat tersendiri. Jadi saya yakin konsert ini juga mendapat sambutan baik,” katanya.

Pada malam konsert itu nanti, Azlan bakal menyanyikan empat lagu solo dan dua lagu duet.

Apa yang pasti, Azlan mengambil masa dua bulan untuk membuat persiapan dari segi fizikal dan vokal.

“Setiap kali ingin menjayakan persembahan, perkara paling dirisaukan adalah mental dan rehat. Disebabkan itu saya perlu ada terapi mental agar lebih relaks. Selain itu penjagaan stamina juga memainkan peranan penting.

“Saya berjaya menurunkan berat 10 kilogram semata-mata untuk konsert ini. Selebihnya saya perlu fokus. Bukan masanya lagi nak main-main kerana saya percaya setiap individu yang terbabit pun sudah menjalankan tanggungjawab masing-masing,” katanya.

Berbeza pula dengan Faizal Tahir, dia sangat mengalu-alukan tekanan kerana daripada situ dapat menguji diri untuk menjadi seorang yang berfikiran positif.

“Selepas 11 tahun berada dalam industri, satu perkara saya belajar adalah perlu sentiasa positifkan minda. Memang perkara ini banyak membantu. Tidak dinafikan tekanan pasti ada, tetapi jangan terlalu memikirkan perkara itu.

“Alhamdulillah, saya boleh mengawal tekanan itu. Malah untuk konsert ini pun bagi saya ia memberikan satu tekanan yang baik. Apatah lagi semua pemuzik terbabit pernah bekerjasama dengan saya sebelum ini. Masing-masing sudah saling mengenali,” katanya yang teruja berkongsi pentas dengan penyanyi Indonesia.

Berkongsi mengenai persediaan, Faizal mengakui lebih fokus kepada persembahan vokal.

“Pengarah muzik Aubrey Suwito menggalas tanggungjawab lebih besar. Disebabkan itu saya perlu fokus kepada vokal dan persembahan. Malah saya menyifatkan konsert ini antara persembahan yang lebih relaks dan bersahaja pernah saya jayakan,” katanya.

Menurut Faizal, konsert ini bakal menampilkan persembahan hebat daripada setiap penyanyi termasuk dirinya.

Malah dia berusaha membuat persembahan terbaik dan berbeza dengan persembahan sebelum ini.

“Tidak kisah sama ada konsert atau apa juga persembahan lain, sebagai penyanyi saya perlu memberikan yang terbaik. Tidak kira konsert berskala besar atau persembahan kecil, saya kena bersungguh-sungguh.

“Cuma saya perlu bijak membezakan setiap persembahan. Pendek kata kreativiti persembahan memainkan peranan penting. Takkan setiap persembahan sama saja. Nanti orang bosan pula. Jadi untuk konsert harus ada sedikit kelebihan,” katanya. - Harianmetro

Tiada istilah menyerah - Konsert nova stadium malawati Shah Alam

* https://www.hmetro.com.my/rap/2017/08/249972/tiada-istilah-menyerah
* Tiada istilah menyerah - Konsert nova stadium malawati Shah Alam
Show Comments
Hide Comments

0 Comments

* No 'spam' please ... [auto delete using script]
* Moderation setting on - [enable by default]

+ Terima kasih kerana sudi meninggalkan komen